Home Buletin Semasa MALAYSIA DAN TURKIYE TUKAR SURAT HASRAT ERAT KERJASAMA PERALIHAN TENAGA

MALAYSIA DAN TURKIYE TUKAR SURAT HASRAT ERAT KERJASAMA PERALIHAN TENAGA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Malaysia melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kerajaan Republik Türkiye melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengadakan sesi pertukaran Surat Hasrat (Exchange of Letters – EoL) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang peralihan tenaga sempena lawatan rasmi Presiden Republik Türkiye, Recep Erdoğan, ke Malaysia pada 10 hingga 11 Februari lalu.

PETRA dalam satu kenyatan hari ini berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memajukan pembangunan tenaga lestari, meningkatkan keterjaminan dan keselamatan pembekalan tenaga, serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan hijau.

“Bidang kerjasama yang digariskan dalam Surat Hasrat ini merangkumi pengoperasian pasaran elektrik, pengukuhan sistem grid, pembangunan grid pintar, peningkatan sumber tenaga boleh baharu, pemerkasaan kecekapan tenaga, ekplorasi potensi tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik, serta mekanisme pelaburan dan pembiayaan dalam sektor tenaga.

“Kerjasama ini akan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti seminar, forum, perbincangan teknikal, lawatan kerja, pertukaran kepakaran dan pengetahuan teknikal serta pelaksanaan projek secara bersama dalam bidang berkaitan tenaga elektrik,”menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut kerjasama strategik itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai masa depan rendah karbon dan mampan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Malaysia berhasrat untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga dengan memanfaatkan kepakaran dari Republik Türkiye dalam bidang tersebut.

PETRA kekal komited memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan Republik Türkiye dalam sektor yang penting itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here