Home Buletin Semasa MALAYSIA-AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA REE, PACU INDUSTRI MINERAL KRITIKAL

MALAYSIA-AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA REE, PACU INDUSTRI MINERAL KRITIKAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor Elemen Nadir Bumi (REE) dan mineral kritikal, termasuk usaha membangunkan rantaian nilai industri berkenaan secara lebih menyeluruh.

Komitmen itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Danielle Heinecke kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di Bangunan Parlimen Malaysia, pada Selasa.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES) semalam, pertemuan itu turut menjadi platform bagi kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama baharu berasaskan kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai sejak 2021.

“Antara fokus utama ialah pemerkasaan industri REE dan mineral kritikal, dengan Malaysia mengiktiraf kepakaran teknikal serta kepimpinan Australia dalam sektor berkenaan.

“Malaysia turut komited membangunkan rantaian nilai REE tempatan secara menyeluruh, daripada peringkat pertengahan hingga hiliran, selaras dengan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3).

“Selain itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan sisa pemprosesan nadir bumi, khususnya Neutralisation Underflow Residue (NUF), selain meneroka pembangunan keupayaan pembuatan magnet neodymium dalam negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama berkenaan dilihat penting bagi memastikan pembangunan industri REE bukan sahaja memberi nilai ekonomi, malah dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, perbincangan turut merangkumi isu pengurusan sisa berbahaya, pemuliharaan ekosistem marin, pembiayaan iklim serta komitmen Malaysia menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31).

“Malaysia berpandangan gabungan kepakaran teknikal Australia dengan komitmen negara terhadap pengurusan sumber secara mampan mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang lebih berdaya saing.

“Kerjasama itu juga dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara, khususnya dalam memperkukuh sektor mineral kritikal dan usaha menangani cabaran alam sekitar secara bersama,” menurut kenyataan itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis Rizana Zainudin, pengurusan tertinggi kementerian serta wakil Kementerian Luar Negeri (KLN).

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here