Home Buletin Semasa KEPUTUSAN UPUONLINE LEPASAN STPM/SETARAF DIBUKA ESOK

KEPUTUSAN UPUONLINE LEPASAN STPM/SETARAF DIBUKA ESOK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Debaran ribuan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf bakal terjawab apabila keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2026/2027 diumumkan esok.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan semalam memaklumkan keputusan permohonan melalui UPUOnline® bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda akan boleh disemak mulai 12 tengah hari, 14 Ogos hingga 5 petang, 23 Ogos 2026.

Semakan boleh dibuat menerusi portal UPUOnline® di upu.mohe.gov.my atau upu2.mohe.gov.my, selain aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov.

Bagi calon yang berjaya, pengesahan sama ada menerima atau menolak tawaran perlu dibuat mulai 15 Ogos hingga 23 Ogos 2026 menerusi laman web UA masing-masing.

Surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan oleh UA mulai 15 Ogos selepas calon membuat pengesahan menerima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran dibenarkan mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline®.

Permohonan rayuan dibuka selama 10 hari bermula 12 tengah hari, 14 Ogos hingga 5 petang, 23 Ogos 2026 melalui portal UPUOnline®.

KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2026/2027 adalah muktamad, manakala permohonan pertukaran program pengajian atau UA tidak dibenarkan.

Bagi permohonan rayuan, pemilihan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang tersedia mengikut program pengajian selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai.

Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline® boleh diajukan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA melalui talian 03-8684 2363 atau e-mel upu@mohe.gov.my.

Calon juga boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook, TikTok dan Instagram BKPA UPU.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here