Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Pernahkah anda berasa masih lapar walaupun baru sahaja menghabiskan sepinggan nasi? Jika ya, anda mungkin tergolong dalam kalangan individu yang makan terlalu cepat.
Menurut perkongsian daripada Public Health Malaysia, otak manusia sebenarnya memerlukan kira-kira 20 minit untuk menerima isyarat kenyang yang dihantar perut.
Ini bermakna, jika kita makan terlalu pantas, otak belum sempat ‘sedar’ bahawa perut sudah penuh dan kita pun terus makan, lalu tanpa sedar mengambil makanan secara berlebihan.
Tabiat itu bukan sahaja menyebabkan pengambilan kalori berlebihan, tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah berat badan dan gangguan sistem pencernaan dalam jangka masa panjang.
Bagaimanapun, kita perlu belajar makan dengan perlahan. Ini antara tips supaya kita mengunyah dengan perlahan dan perut tidak terlalu terkejut menerima makanan. Antaranya:
1. Letakkan sudu atau garpu seketika selepas setiap suapan.
– Ini memberi masa kepada diri untuk mengunyah makanan dengan betul dan menikmati rasa serta tekstur makanan.
2. Fokus pada makanan yang diambil, bukan pada skrin atau gangguan lain.
– Amalan mindful eating ini membantu otak lebih peka terhadap rasa kenyang dan kepuasan ketika makan.
3. Kunyah makanan secara perlahan.
– Ini bukan sahaja memberi ruang untuk otak memproses isyarat kenyang, malah membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih baik.
Antara manfaat makan perlahan adalah:
– Rasa kenyang lebih cepat
– Kurang risiko terlebih makan
– Penghadaman lebih lancar
Amalan kecil ini mungkin nampak remeh, tetapi memberi kesan besar kepada kesihatan jangka panjang. Jadi, mula hari ini kita cuba untuk makan perlahan, kunyah dengan tenang, dan beri masa untuk otak dan perut ‘berbual’.
IMedikel TV






