Home Buletin Semasa MAIK PERKASA PROFESIONALISME IMAM MELALUI SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA

MAIK PERKASA PROFESIONALISME IMAM MELALUI SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA

28
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus memperkukuh pembangunan modal insan institusi masjid menerusi pelaksanaan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi imam-imam di negeri ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, program tersebut adalah antara inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi melengkapkan imam dengan kemahiran pengurusan yang lebih profesional.

“Pendedahan yang diberikan bukan sahaja membantu imam menguruskan masjid dengan lebih berkesan, malah menjadi nilai tambah yang boleh dimanfaatkan dalam kerjaya lain pada masa hadapan.

“Tujuan utama program ini adalah untuk melengkapkan imam-imam dengan kemahiran dalam aspek pengurusan. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk menguruskan masjid, malah boleh digunakan sekiranya mereka memilih kerjaya lain pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Sijil Kemahiran Malaysia dan Program Murajaah Huffaz al-Quran MAIK 2025.

Beliau berkata, program SKM itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan mengambil masa kira-kira empat bulan bagi setiap tahap pembelajaran.

Menurutnya, program yang dimulakan dua tahun lalu itu kini berada pada tahap kedua dan graduasi kali ini membabittkan kumpulan pertama peserta.

Tengku Mohamad Rizam berkata, penyertaan bagi setiap sesi adalah terhad kepada 30 peserta berikutan kekangan kapasiti latihan.

“Setakat ini sambutan yang diterima amat positif, namun tempat yang terhad menyebabkan pemilihan dibuat berdasarkan permohonan dan kekosongan yang ada

“Amat membanggakan apabila seramai 38 graduan berjaya menamatkan program SKM dengan jayanya, membabitkan 22 peserta Kursus Pengoperasian Masjid Tahap 1 dan 16 peserta Kursus Penyelarasan Operasi Masjid Tahap 2. Dalam masa sama, seramai 16 peserta lagi bakal mengikuti program Tahap 3 dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, MAIK berhasrat memperluaskan program berkenaan kepada lebih ramai imam di seluruh negeri bagi meningkatkan profesionalisme pengurusan masjid.

Katanya, antara modul yang diberi penekanan termasuk aspek pengurusan masjid, kebersihan, keceriaan serta pengurusan kewangan.

Tengku Mohamad Rizam turut memaklumkan bahawa Kelantan menjadi negeri perintis yang melaksanakan sistem penarafan masjid secara menyeluruh membabitkan semua masjid, sebagai usaha meningkatkan tahap pengurusan dan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan.

Beliau berkata, pendekatan MAIK bukan sahaja memberi latihan dan pendedahan kepada pengurusan masjid, malah disusuli proses audit bagi memastikan segala aspek yang dipelajari dapat dipraktikkan dengan berkesan.

Sementara itu, beliau berkata Program Murajaah Huffaz al-Quran MAIK yang diperkenalkan kira-kira setahun lalu turut menunjukkan perkembangan positif.

Katanya program berkenaan dilaksanakan bermula Mei 2025 hingga April 2026 di 35 buah masjid terpilih di seluruh Kelantan dengan bimbingan 35 orang pembimbing yang terdiri daripada penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK Tahun 2025. 

“Pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran, bahkan menjadikan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, pembinaan sahsiah dan pemupukan budaya al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Peserta yang berjaya menamatkan program turut diraikan, manakala masjid-masjid yang terlibat diberi pengiktirafan sebagai Masjid Mesra Huffaz Al-Quran,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here