LOS ANGELES: Romelu Lukaku membuktikan pemain tidak semestinya perlu berada dalam kesebelasan utama untuk memberi impak besar apabila muncul watak penting membantu Belgium mara ke suku akhir Piala Dunia 2026.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium itu menjadikan setiap kemunculannya sebagai pemain gantian sesuatu yang menggerunkan buat pertahanan lawan, sekali gus mencipta antara kisah paling menarik buat skuad Red Devils pada kejohanan kali ini.
Lukaku menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir Belgium di Piala Dunia 2026, sekali gus menjadi pemain Belgium kedua dalam sejarah yang meledak gol dalam tiga aksi Piala Dunia berturut-turut.
Satu-satunya pemain Belgium yang pernah melakukannya sebelum ini ialah Marc Wilmots pada Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.
Apa yang lebih mengagumkan, ketiga-tiga gol Lukaku hadir selepas beliau dimasukkan sebagai pemain gantian, sekali gus menyerlahkan pengalaman, ketenangan serta keupayaannya mengubah perlawanan walaupun tidak bermula dalam kesebelasan utama.
Dalam sejarah Piala Dunia, hanya legenda Cameroon, Roger Milla, menjaringkan lebih banyak gol sebagai pemain gantian apabila meledak empat gol pada Piala Dunia 1990 di Itali.
Kini Lukaku berada di tangga kedua secara bersendirian dan hanya memerlukan satu lagi gol untuk menyamai rekod yang bertahan lebih tiga dekad itu.
Gol pertamanya hadir ketika Belgium membelasah New Zealand 5-1 pada peringkat kumpulan. Selepas dimasukkan pada minit ke-85, beliau hanya mengambil masa seminit untuk menjaringkan gol.
Jaringan kedua pula menjadi pencetus kebangkitan Belgium ketika menewaskan Senegal 3-2 pada pusingan 32 terbaik. Masuk sebaik babak kedua bermula, Lukaku merapatkan jurang pada minit ke-86 sebelum Belgium melengkapkan kebangkitan dramatik.
Beliau sekali lagi menemui sasaran ketika Belgium menewaskan Amerika Syarikat 4-1 pada pusingan 16 terbaik. Dimasukkan pada minit ke-67, Lukaku menjaringkan gol keempat Belgium pada masa kecederaan (90+3) bagi mengesahkan kemenangan.
Jaringan-jaringan itu mengukuhkan status Lukaku sebagai senjata paling berbahaya Belgium walaupun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.
Tiada pemain Belgium pernah memberi impak sebesar itu sebagai pemain gantian dalam satu edisi Piala Dunia.
Kehadiran fizikalnya, pergerakan bijak tanpa bola, keupayaan mengganggu pertahanan tengah lawan serta penyudah yang tajam membolehkan beliau mengubah keputusan perlawanan hanya dalam beberapa minit.
Kebangkitan itu cukup luar biasa selepas kempen mengecewakan pada Piala Dunia 2022 di Qatar apabila beberapa peluang yang disia-siakannya, terutama ketika menentang Croatia, menjadi antara punca Belgium tersingkir di peringkat kumpulan.
Kini pada usia 33 tahun, Lukaku berjaya mengubah persepsi terhadap karier antarabangsanya walaupun melalui musim yang sukar bersama Napoli.
Pengendali Belgium, Rudi Garcia, menjelaskan peranan Lukaku sebagai pemain gantian adalah bagi menguruskan masalah kecergasan yang dihadapinya sejak setahun lalu.
Namun, Lukaku menerima tanggungjawab itu dengan terbuka dan menjadikannya antara kekuatan terbesar dalam permainannya.
Menjelang aksi suku akhir menentang Sepanyol awal pagi esok, setiap kemunculan Lukaku dari bangku simpanan kini dilihat sebagai kelebihan besar buat Belgium dalam usaha memburu satu lagi penampilan di separuh akhir, atau mungkin mara ke final Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah mereka. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






