Home Sukan LOWRY REBAH SAAT AKHIR, ECHAVARRIA RANGKUL GELARAN COGNIZANT CLASSIC

LOWRY REBAH SAAT AKHIR, ECHAVARRIA RANGKUL GELARAN COGNIZANT CLASSIC

MIAMI: Kesilapan lewat permainan oleh Shane Lowry membuka ruang kepada pemain Colombia, Nico Echavarria untuk muncul juara Kejohanan Cognizant Classic di Palm Beaches, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Echavarria mempamerkan aksi konsisten dengan catatan lima bawah par 66 pada pusingan akhir untuk menamatkan saingan keseluruhan 17 bawah par 267 di Lapangan Champion, PGA National.

Ia kemenangan pertamanya di Jelajah PGA sejak 2024 dan gelaran ketiga keseluruhan dalam kariernya.

Dia menamatkan kejohanan dengan kelebihan dua pukulan mengatasi Lowry, Austin Smotherman dan Taylor Moore.

Lowry yang mencatat 68, dilihat hampir pasti menjulang trofi sebelum dua ‘double bogey’ berturut-turut di lubang ke-16 dan 17 memusnahkan harapannya.

Kedua-dua pukulan tee di lubang berkenaan berakhir di kawasan air.

Sebelum itu, pemain Ireland berkenaan berada enam bawah par tanpa sebarang bogey dan mengawal saingan dengan selesa.

‘Double bogey’ pertama membolehkan Echavarria yang ketika itu mencatat birdie di lubang ke-17 menyamakan kedudukan, sebelum kesilapan seterusnya memberikan kelebihan mutlak kepada pemain Colombia itu.

Moore turut mencatat 68 manakala Smotherman, yang memulakan pusingan akhir sebagai pendahulu bersama Lowry, melakukan birdie di lubang terakhir untuk menamatkan saingan dengan 69.

Ricky Castillo menduduki tempat kelima dengan 13 bawah par selepas mencatat 68 pada pusingan terakhir.

Sementara itu, juara lima kejohanan utama, Brooks Koepka mencuri tumpuan apabila mencatat 65 – antara skor terbaik hari itu – untuk menamatkan saingan di kedudukan kesembilan bersama dengan keseluruhan 10 bawah par. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here