Home Buletin Semasa LIMA TAHANAN LOKAP PASIR MAS MENGAKU BERSALAH

LIMA TAHANAN LOKAP PASIR MAS MENGAKU BERSALAH

568
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lima tahanan yang terlepas di lokap Mahkamah Pasir Mas, 22 Jun lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melarikan diri dari tahanan yang sah di sisi undang-undang.

Kesemua tertuduh, Mohd Safiuddin Hanif Mohd, 38, Muhamad Norshamzee Mohd Noresan Shargawi, 32, Mohamad Akmal Mohd Zahari, 31, Mohd Haris Zakaria, 37 dan Muhammad Alif Izham Hussim, 23 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa melarikan diri dari tahanan yang sah di sisi undang-undang pada jam 10.20 pagi di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibaca bersama Seskyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, kelima-lima mereka didakwa melakukan pecah rumah dengan niat untuk mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang wanita berusia 46 tahun pada jam 10.30 pagi di Kampung Kubang Bongor, Lemal, Pasir Mas pada tarikh yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, salah seorang tertuduh, Mohd Safiuddin Hanif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis yang sedang menjalankan tugas dengan cara memaut lehernya pada jam 10.20 pagi di lokap Mahkamah Sesyen Pasir Mas, pada tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama, yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Amira Mat.

Terdahulu, Syazalia tidak menawarkan jaminan kepada mereka berikutan Mohd Safiuddin Hanif, Muhamad Norshamzee, Mohd Haris dan Muhammad Alif Izham terlibat dengan pertuduhan kes dadah di Mahkamah Pasir Mas.

“Selain itu, tertuduh ketiga iaitu Mohamad Akmal mempunyai rekod lampau melarikan diri dari lokap sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Amira memohon pengurangan jaminan yang minimum dengan alasan ada di antara anak guamnya yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari, pembantu kedai makan dengan pendapatan RM35 sehari selain kebanyakkannya menanggung ibu bapa sakit dan anak masih bersekolah.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here