Home Luar Negara LIMA MAUT PESAWAT KARGO TERBABAS DARI LANDASAN, REMPUH BEBERAPA KENDERAAN

LIMA MAUT PESAWAT KARGO TERBABAS DARI LANDASAN, REMPUH BEBERAPA KENDERAAN

CHICAGO: Sekurang-kurangnya lima orang maut, selepas pesawat kargo Amazon Prime Air terbabas dari landasan dan merempuh beberapa kenderaan, ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, kata pihak berkuasa tempatan.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Ketua Bomba Miami-Dade, Ray Jadallah, berkata penerbangan Prime Air 7598 itu terbabas dari penjuru landasan, sejurus mendarat jam 2 petang (1800 GMT), turut melanggar beberapa kenderaan.

Beliau berkata, lima mangsa yang lain turut cedera dalam nahas, termasuk tiga yang berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, sekurang-kurangnya dua orang terperangkap dalam kenderaan yang dilanggar pesawat itu, manakala juruterbang dan pembantu juruterbang terperangkap di dalam pesawat akibat nahas itu.

Beliau bagaimanapun enggan berkongsi maklumat mereka yang maut. 

Amazon dan Jabatan Penerbangan Miami-Dade sebelum itu mengesahkan satu insiden berlaku ketika pesawat berkenaan cuba mendarat.

Terdahulu, Jabatan Bomba Miami-Dade dalam satu kenyataan turut memaklumkan lebih 60 unit penyelamat dan kira-kira 200 anggota bertindak balas terhadap insiden itu.

Mengulas lanjut, Jadallah berkata, menjelang lewat petang, anggota kecemasan masih menangani kebocoran bahan api aktif daripada pesawat itu.

Biarpun lapangan terbang itu menghentikan semua penerbangan serta-merta selepas nahas, dua daripada empat landasannya sudah kembali dibuka semula menjelang lewat petang Ahad.

Pesawat Boeing 767-300 itu berlepas dari San Juan, Puerto Rico, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.

Sementara jurucakap Amazon dalam kenyataan memaklumkan syarikat penerbangan kargo 21 Air yang mengendalikan pesawat itu.

Syarikat penerbangan kargo itu masih belum memberi maklum balas terhadap e-mel yang dihantar.

Gambar selepas nahas menunjukkan pesawat dengan bahagian depan menjunam di atas tanah dan ekornya terangkat, sementara bahagian kanan pesawat itu dilihat mempunyai kesan terbakar.

Jurucakap Amazon, Kelly Nantel memaklumkan pihaknya masih mengumpulkan butiran mengenai apa yang berlaku.

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pegawai tempatan untuk memahami dengan tepat apa yang berlaku.

“Buat masa ini, keutamaan mutlak kami ialah keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan semua yang terbabit,” katanya.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata akan menyiasat nahas itu.

Insiden pada Ahad itu bukan nahas maut kali pertama membabitkan pesawat Amazon Prime Air.

Pada Februari 2019, Atlas Air Flight 3591, sebuah pesawat kargo Boeing 767-300 yang beroperasi bagi pihak Amazon Prime Air dari Miami ke Houston, turut terhempas ke Trinity Bay, menyebabkan tiga orang maut. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here