BERLIN: Bayer Leverkusen hanya memerlukan tiga mata lagi untuk meraih kejuaraan sulung Bundesliga selepas menang 1-0 di Union Berlin lewat malam tadi ketika Bayern Munich mensia-siakan pendahuluan dua gol sebelum tumbang 3-2 di Heidenheim.
Bayern mendahului selesa ketika rehat menerusi jaringan Harry Kane dan Serge Gnabry namun melepaskan tiga gol pada babak kedua sekali gus mengalami kekalahan kedua berturut-turut.
Florian Wirtz menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama apabila Leverkusen dipaksa bekerja keras di ibu negara Jerman menentang Union yang beraksi 10 pemain, melebarkan rekod tanpa kalah mereka musim ini kepada 41 perlawanan.
Pasukan kendalian Xabi Alonso hanya memerlukan tiga mata daripada baki enam perlawanan untuk merangkul kejuaraan liga pertama buat kelab itu.
Bayern, yang menang 11 kejuaraan Bundesliga berturut-turut, boleh melepaskan mahkota kejuaraan mereka minggu depan di antara perlawanan suku akhir pertama dan kedua Liga Juara-Juara menentang Arsenal.
“Sudah tentu situasinya menakjubkan tetapi kami tidak mahu meraikannya lagi,” kata Alonso.
“Mungkin kami boleh meraikannya Ahad depan. Sebelum itu kami ada perlawanan Liga Europa (di laman sendiri berdepan West Ham).
“Ia belum lagi muktamad dan kami perlu menanti serta bersabar sedikit.”
– AFP,BH Online –
Imedikel TV






