Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Seorang lelaki berjaya diselamatkan polis selepas dipercayai terjun ke dalam sungai di Gate Air Pengkalan Petah, Tawang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Polis Daerah Bachok menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki yang dipercayai terjun ke dalam sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan.
“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati seorang lelaki Melayu sedang terapung di dalam sungai dalam keadaan tidak berpakaian.
“Berdasarkan maklumat orang awam, lelaki terbabit bertindak agresif ketika usaha dijalankan untuk membawanya naik ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pasukan polis bertindak menenangkan lelaki berkenaan sebelum berjaya membawanya ke tebing sungai dengan selamat selepas hampir 30 minit.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu tidak menemukan sebarang barangan salah atau menyalahi undang-undang.
“Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Tawang untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine sebelum ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mohamad Ismail berkata, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta memberikan kerjasama sepanjang operasi dijalankan.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya berdepan situasi kecemasan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
IMedikel TV






