Home Buletin Semasa LELAKI ORANG ASLI CEDERA DISERANG BERUANG

LELAKI ORANG ASLI CEDERA DISERANG BERUANG

157
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor beruang liar dalam kejadian di kawasan hutan Kampung Kuala Yai, Pos Tohoi, di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.58 malam itu dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Azlan Che Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakannya memasuki hutan berhampiran kampung berkenaan untuk mencari herba.

“Ketika sedang mencari lokasi untuk berehat, kumpulan terbabit terserempak dengan dua ekor beruang. Mangsa dipercayai panik lalu memanjat sebatang pokok.

“Bagaimanapun, seekor beruang yang dipercayai ibu kepada anak beruang berkenaan bertindak agresif dengan menggigit mangsa di bahagian kaki kanan dan tangan kiri,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rakan mangsa kemudian bertindak memukul haiwan tersebut sebelum beruang berkenaan melarikan diri bersama anaknya ke dalam hutan.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kuala Betis untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang bagi rawatan lanjut,”katanya.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here