Home Buletin Semasa LELAKI MAUT BERGESEL BESI PENGHADANG DI GUA MUSANG

LELAKI MAUT BERGESEL BESI PENGHADANG DI GUA MUSANG

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas bergesel dengan besi penghadang bahu kiri jalan dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, di sini, pada jam 5.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu menerusi kaunter aduan Balai Setempat Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Gua Musang.

“Maklumat diterima daripada anggota Balai Polis Paloh yang memaklumkan berlaku satu kemalangan maut di Kilometer 60 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, Gua Musang.

“Siasatan mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Ketika tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang bahu kiri jalan sebelum terjatuh di bahu kiri jalan, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 bagi membantu siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here