Home Buletin Semasa HASRAT KEMBALIKAN KEGEMILANGAN, KERAJAAN KELANTAN BINCANG ISU BOLA SEPAK BERSAMA PJS

HASRAT KEMBALIKAN KEGEMILANGAN, KERAJAAN KELANTAN BINCANG ISU BOLA SEPAK BERSAMA PJS

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah berbincang dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) mengenai isu-isu pengurusan persatuan sukan di negeri ini termasuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Mohamad berkata, perbincangan melalui pertemuan dua pihak itu menzahirkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

“Pertemuan itu juga bagi meneliti langkah-langkah dalam penstrukturan semula organisasi sukan serta usaha untuk melihat pembangunan bola sepak negeri.

“Kita juga sudah membuat surat rasmi kepada PJS untuk mendapatkan maklumat status terkini dan cadangan penyelesaian isu berkaitan KAFA,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Azhar Salleh (PAS – Pulai Chondong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan terus komited mengembalikan kegemilangan bola sepak yang pernah menjadi kebanggaan rakyat suatu ketika dahulu.

Jelasnya, ekosistem bola sepak negeri akan terus diperkukuh hingga ke peringkat akar umbi menerusi pelbagai langkah dan sokongan strategik.

Mengulas lanjut, antara inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) ialah penganjuran Liga Elit DUN (LED) yang melibatkan 458 pasukan daripada 45 DUN.

“Kejohanan tahunan ini menghimpunkan lebih 10,000 pemain muda yang berpotensi untuk menjadi pemain di Piala Menteri Besar Kelantan.

“Penganjuran Piala Menteri Besar Kelantan pula menjadi kesinambungan kepada LED dengan penyertaan 48 pasukan termasuk tiga pasukan khas, iaitu Orang Asli, Siam Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan (YIK),” jelasnya.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kewangan, logistik dan fasiliti kepada kelab serta persatuan bola sepak, di samping menyokong kelab tempatan seperti Kelantan Darul Naim FC, Kelantan WTS FC, dan Kelantan Red Warriors FC yang aktif membangunkan bakat baharu di peringkat komuniti.

“Usaha ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pembangunan bola sepak negeri terus kukuh dan kembali menjadi kebanggaan rakyat Kelantan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here