Home Luar Negara KONTROVERSI SUNTING UCAPAN TRUMP: ORANG KANAN BBC LETAK JAWATAN

KONTROVERSI SUNTING UCAPAN TRUMP: ORANG KANAN BBC LETAK JAWATAN

LONDON: Ketua Pengarah BBC, Tim Davie dan Ketua Eksekutif Beritanya, Deborah Turness meletak jawatan susulan kritikan terhadap dakwaan berat sebelah dalam laporan penyiar itu.

Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro BBC berdepan tekanan selepas laporan dalaman yang bocor mendedahkan kegagalan dalam liputan berkaitan perang Hamas-Israel, isu transgender dan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Difahamkan, program dokumentari Panorama didakwa menyunting dua bahagian ucapan Trump sehingga kelihatan beliau menggalakkan rusuhan di Capitol Hill pada Januari 2021.

Susulan itu juga, Trump menyambut baik peletakan jawatan itu dan menuduh kedua-dua pegawai terbabit sebagai ‘orang yang sangat tidak jujur’.

Dalam satu hantaran lain di media sosial pada 9 November, Trump juga menuduh kedua-dua eksekutif itu cuba mempengaruhi pilihan raya presiden AS.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Davie mengakui BBC tidak sempurna dan beliau perlu mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan yang berlaku.

Davie berkata, BBC tetap memainkan peranan penting dalam membina masyarakat sihat dan perlu dipertahankan, bukannya dijadikan senjata politik.

Beliau mengakui kontroversi semasa menjadi antara faktor keputusannya untuk berundur selepas lima tahun menerajui syarikat penyiar berkenaan.

Turness dalam emelnya kepada kakitangan pula menegaskan, dakwaan bahawa BBC bersifat berat sebelah secara institusi adalah tidak benar.

BBC yang dibiayai melalui bayaran lesen penonton televisyen kekal, sebagai antara jenama berita paling dipercayai di dunia, walaupun sering dipersoal kerana didakwa cenderung kepada pendirian liberal.

Kontroversi ini menambah tekanan terhadap BBC selepas beberapa skandal termasuk pembabitan penyampai sukan terkenal Gary Lineker dan dokumentari berkaitan Gaza awal tahun ini.

Dalam pada itu, Menteri Kebudayaan United Kingdom (UK), Lisa Nandy mengucapkan terima kasih kepada Davie atas kepimpinannya dan menyifatkan beliau melalui tempoh perubahan besar dalam organisasi itu.

BBC kini dijangka perlu memberi penjelasan rasmi kepada Parlimen UK berhubung dakwaan berkenaan sambil menunggu lantikan pengganti Davie. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here