Home Buletin Semasa KERAJAAN KELANTAN SAHKAN TIADA SEBARANG PENJUALAN LOMBONG EMAS DI TANAH MERAH

KERAJAAN KELANTAN SAHKAN TIADA SEBARANG PENJUALAN LOMBONG EMAS DI TANAH MERAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesahkan tiada sebarang penjualan lombong emas bernilai RM12 juta di Tanah Merah seperti yang didakwa di media sosial, setakat ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, hebahan berkenaan penjualan itu hanyalah sebuah tanggapan sahaja.

“Kajian mendapati laporan yang tular di media sosial itu cakap-cakap semata-mata.

“Bagaimanapun, kita masih lagi mengkaji dan meneliti berhubung hebahan yang dibangkitkan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional-Galas) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Menurutnya, dasar penjualan emas mentah dikawal sepenuhnya melalui peruntukan Enakmen Urusan Emas Mentah 1991, manakala aktiviti perlombongan tertakluk kepada Enakmen Mineral 2001.

“Sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan dalam aktiviti perlombongan, agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kelantan adalah negeri pengeluar emas yang mengenakan kadar royalti tertinggi di negara dengan 10 peratus kepada kerajaan negeri berbanding negeri lain yang hanya mengenakan antara lima hingga 7.5 peratus.

“Kita ada lima negeri pengeluar emas dan Kelantan adalah paling tinggi kadar royaltinya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here