Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Seorang lelaki ditahan dipercayai cuba menyeludup tanaman hiasan bernilai RM2.01juta, di Kampung Lubuk Stol, di sini, pada Sabtu.
Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion (BN) 8 PGA dalam Op Taring kira-kira jam 9.45 malam.
“Pihak kami menahan sebuah kenderaan jenis lori Hicom yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas dalam Op Taring.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis tanaman hiasan jenis orkid dan Bromeliad yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam lori tersebut tanpa dokumen yang sah,”katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya suspek berumur 36 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






