Home Luar Negara 2 GEMPA KUAT GEGAR TIMUR CUBA, ROSAKKAN BANGUNAN, INFRASTRUKTUR

2 GEMPA KUAT GEGAR TIMUR CUBA, ROSAKKAN BANGUNAN, INFRASTRUKTUR

125
0

HAVANA: Gempa bumi kuat melanda timur Cuba semalam, disenaraikan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dengan magnitud 6.8, hingga menggegarkan bangunan di Santiago de Cuba, bandar kedua terbesar di pulau itu, serta kawasan luar bandar sekitarnya.

Ia berlaku di pantai tenggara Cuba, di wilayah Granma berhampiran dengan daerah Bartolome Maso, di mana bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro, pernah menjadikan tempat itu sebagai ibu pejabat semasa Revolusi Cuba.

“Gempa 6.8 itu berada pada kedalaman 14 kilometer (km), tetapi kira-kira sejam sebelum itu, gempa bumi dengan magnitud 5.9 diukur berhampiran,” menurut USGS.

Menurut laporan awal, gempa bumi itu menyebabkan retakan pada dinding dan kerosakan pada rumah, namun tidak ada kematian yang dilaporkan setakat ini.

Gegaran kuat menyebabkan ramai penduduk berlari ke jalanan dalam keadaan cemas, terutama kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada trauma Taufan Rafael, taufan kategori tiga yang melanda pulau itu pada Rabu lalu.

Akhbar milik kerajaan, Granma, melaporkan bahawa tiada kematian dilaporkan setakat ini akibat gempa pada Ahad, namun gegaran dirasai di seluruh wilayah timur dan tengah negara kepulauan Caribbean itu.

Penduduk di Bayamo, sebuah bandar dengan sekitar 140,000 penduduk, berkata tiang-tiang di jalan bergoyang.

“Orang ramai jadi takut, semua orang keluar berlari dari rumah dalam keadaan sangat cemas,” kata Livan Chavez, seorang tukang kimpal.

Sementara itu, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, berkata terdapat tanah runtuh, kerosakan pada rumah dan talian elektrik.

“Kami sudah mula menilai kerosakan… perkara pertama dan paling penting ialah menyelamatkan nyawa,” katanya di platform X.

Menurut penduduk, Griselda Fernandez, rumah dan bangunan bergegar dengan kuat, pinggan mangkuk, gelas serta pasu bergegar jatuh dari rak.

“Kami pernah merasakan gempa bumi pada masa lalu, tetapi tidak seperti ini,” katanya.

Banyak rumah dan bangunan di kawasan itu adalah tua dan terdedah kepada kerosakan akibat gempa.

Media milik kerajaan turut menyiarkan imej bumbung terracotta dan rumah bata konkrit runtuh akibat gegaran, selain infrastruktur awam.

Gempa bumi itu berlaku di sebuah pulau yang masih bergelut untuk pulih daripada kesan taufan.

Sebahagian besar timur Cuba masih dalam proses pembersihan selepas dilanda Taufan Oscar pada Oktober lalu.

Minggu lalu, grid kuasa negara itu runtuh selepas Taufan Rafael melanda bahagian barat pulau itu, menyebabkan 10 juta orang terputus bekalan elektrik.

Sementara itu, pihak berkuasa Cuba berkata, lebih daripada 15 gegaran susulan dialami berikutan dua gegaran pertama dan memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya berwaspada kerana gegaran susulan selanjutnya mungkin berlaku.

Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS berkata setakat ini tiada ancaman tsunami dijangka berlaku.

Kebanyakan aktiviti seismik di Cuba berlaku di kawasan sekitar Santiago dan garis rentang gempa bumi di sepanjang pantai tenggara pulau itu, menandakan sempadan antara plat Amerika Utara dan plat Caribbean, menurut perkhidmatan seismik Cuba.

Bagaimanapun, ibu kota Cuba, Havana tidak terjejas akibat oleh gempa bumi itu. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here