Home Buletin Semasa LELAKI DIPENJARA 18 BULAN SELUDUP DUA PATI

LELAKI DIPENJARA 18 BULAN SELUDUP DUA PATI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Shah Alam selepas disabitkan kesalahan menyeludup dua migran warga Indonesia

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini, memaklumkan lelaki berumur 41 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].

“Tangkapan dibuat hasil Operasi Khas yang dijalankan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan pada 29 Ogos lalu di Jalan Taman Putra Kajang, Selangor, di mana suspek bersama dua migran ditemui di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

Beliau menegaskan bahawa JIM kekal komited membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, dengan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang melindungi atau menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan PATI atau melanggar undang-undang imigresen.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Menurut beliau lagi, masyarakat digesa tidak melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“JIM akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here