Home Luar Negara LELAKI BELANJA RM2.53 JUTA, SUNTIK OTOT PERUT

LELAKI BELANJA RM2.53 JUTA, SUNTIK OTOT PERUT

BEIJING: Seorang lelaki China mengejutkan ramai apabila mendakwa membelanjakan empat juta yuan (kira-kira RM2.53 juta) untuk suntikan asid bagi membentuk otot perut palsu iaitu ‘eight-pack abs’.

Memetik South China Morning Post, Andy Hao Tienan, dari wilayah Heilongjiang, berkata, otot perut palsunya menjadikan dia ‘kes pertama seumpamanya di China’.

Menurut media tempatan, dia mempunyai kira-kira 100,000 pengikut di media sosial dan terkenal berkongsi kandungan berkaitan kecantikan dan fesyen.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, profil Hao mendakwa, 20 peratus tubuhnya mengandungi asid hialuronik, bahan semula jadi yang membantu melincirkan sendi dan mengekalkan kelembapan.

Difahamkan, Hao merancang untuk menyuntik 10,000 dos dan sudah menyelesaikan 40 peratus daripada sasaran berkenaan.

Beberapa bulan lalu, dia menyuntik 40 dos asid ke bahu, tulang selangka, dada dan abdomen, yang membentuk otot perut palsu.

Hao berkata, dia beralih kepada pembedahan kosmetik kerana tidak dapat mencapai tubuh berotot ideal melalui senaman.

“Jika otot perut saya tidak hilang dalam tiga tahun, saya akan memohon Rekod Dunia Guinness (GWR) untuk rekod otot perut palsu terpanjang yang dibuat daripada asid hialuronik.

“Saya akan siarkan secara langsung memecahkan kacang menggunakan otot perut saya untuk semua orang lihat,” katanya.

Dalam video lima bulan selepas prosedur, Hao berkata, dia berasa puas dengan hasilnya dan otot kelihatan lebih semula jadi dengan garis otot yang masih jelas.

Sementara itu, pakar dari Union Hospital di Wuhan, Li Jialun menegaskan, tindakan Hao berisiko kepada kesihatan, termasuk kemungkinan nekrosis kulit, otot nipis dan pergeseran ‘filler’.

Li menambah otot palsu mungkin kelihatan realistik dalam keadaan statik tetapi terpesong semasa bergerak dan otot asal boleh menjadi lebih lemah apabila bahan pengisi larut.

Perbuatan Hao mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China, dengan sesetengah masyarakat mempertikaikan cara orang kaya membelanjakan wang. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here