Home Buletin Semasa KELANTAN TUMPU TENAGA HIDRO DAN SOLAR, SOKONG DASAR TENAGA LESTARI NEGARA

KELANTAN TUMPU TENAGA HIDRO DAN SOLAR, SOKONG DASAR TENAGA LESTARI NEGARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang giat melaksanakan pembangunan sektor tenaga hijau sebagai salah satu komponen penting dalam agenda kelestarian dan pembangunan mampan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata tumpuan utama diberikan kepada dua sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga hidro dan tenaga solar, sebagai usaha menyokong dasar tenaga lestari negara bagi mencapai 31 peratus tenaga boleh diperbaharui pada tahun ini.

“Beberapa projek utama sedang dan sudah dilaksanakan di Kelantan. Projek hidro Pergau yang dikenali sebagai Sultan Ismail Petra sudah mula beroperasi sejak tahun 2003 dengan kapasiti 600 megawatt (MW), menjadikannya loji bawah tanah terbesar di Semenanjung Malaysia.

“Selain itu, projek hidro kecil di Sungai Kenerong turut menyumbang tenaga kepada grid dengan kapasiti 20 MW. Dalam kategori tenaga solar pula, projek solar terapung Danau Tok Uban yang merupakan terbesar di Malaysia telah mula beroperasi pada Januari 2025 dengan kapasiti 60 MW,”beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) berkenaan sasaran tenaga hijau negeri menyumbang kepada matlamat peringkat nasional sebanyak 31 peratus pada tahun 2025 serta kapasiti semasa tenaga boleh baharu di Kelantan di Persidangan DUN Kelantan, di Komplek Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Katanya dalam kategori tenaga solar pula, projek solar terapung Danau Tok Uban yang merupakan terbesar di Malaysia telah mula beroperasi pada Januari 2025 dengan kapasiti 60 MW.

Tambahan pula, menurut beliau pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri (Nenggiri HEP) yang mempunyai kapasiti 300 MW sedang dijalankan dan dijangka siap menjelang tahun 2027.

“Ini adalah projek tenaga boleh diperbaharui tunggal terbesar milik TNB di negeri ini. Di samping itu, terdapat projek hybrid yang menggabungkan tenaga hidro dan solar di Pergau dengan kapasiti 45 MW yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2026, termasuk dengan integrasi sistem penyimpanan tenaga (BESS),”katanya.

Beliau berkata projek tenaga solar darat di bawah pelaksanaan syarikat Samaiden Berhad menerusi program Large Scale Solar 5 (LSS5) pula dijadualkan untuk mula beroperasi melalui perjanjian pajakan tanah seluas 162 hektar bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Projek ini berkapasiti hampir 100 MW dan dijangka menyumbang tenaga sebanyak 150 GWh setahun. Tambahan pula, Malakoff sedang membangunkan tiga projek stesen jana kuasa hidro kecil (SHP) di Sungai Galas, Kuala Krai, Kelantan, dengan kapasiti gabungan 84MW iaitu Kemubu SHP (29.0MW), Kuala Geris SHP (25.0MW) dan Serasa SHP (30.0MW),”katanya.

Katanya dari segi penggunaan, meskipun lebih 95 peratus kapasiti penjanaan tenaga di Kelantan datang daripada sumber hijau, kadar penyerapan ke dalam grid adalah lebih rendah disebabkan oleh kekangan sambungan kepada Grid Nasional.

“Pada tahun ini, dianggarkan sekitar 31 peratus daripada permintaan tenaga elektrik negeri dijana daripada sumber boleh diperbaharui.

“Bagaimanapun, dengan penyempurnaan projek-projek utama seperti Nenggiri HEP, LSS5 dan rangkaian Small Hydro Plants (SHP), peratusan ini dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 46% menjelang tahun 2027.

“Kesimpulannya, Kelantan sedang berada pada landasan yang kukuh dalam memacu pembangunan tenaga hijau, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri dalam menjana tenaga mampan dan menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui negara,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here