MUNICH: Bayern Munich dan Harry Kane masih belum boleh meraikan kejuaraan Bundesliga, untuk sekurang-kurangnya sehari lagi, selepas pemain RB Leipzig, Yussuf Poulsen menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan untuk keputusan 3-3.
Dengan Kane tidak dapat beraksi akibat penggantungan, Bayern ketinggalan dua gol di babak pertama hasil jaringan Benjamin Sesko dan Lukas Klostermann.
Bayern kemudian meledak dua kali dalam tempoh 46 saat menerusik Eric Dier dan Michael Olise untuk menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 30 minit.
Leroy Sane seakan menyempurnakan kebangkitan Bayern sekali gus mengesahkan kejuaraan apabila menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-83.
Tetapi Poulsen, yang dimasukkan ketika permainan berbaki 30 minit, melambung bola melepasi penjaga gol Bayern, Jonas Urbig pada minit kelima masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan.
“Sukan ini menyeronokkan. Ia sedikit pelik selepas gol penyamaan lewat permainan. Saya rasa seperti juara tetapi belum sah. Kami perlu memperbetulkan perasaan kami dan memastikannya minggu depan,” kata pemain veteran Bayern, Thomas Mueller yang akan meninggalkan kelab pada musim panas ini.
Juara bertahan, Bayer Leverkusen hampir mustahil untuk memintas Bayern yang kini mendahului pada 76 mata, manakala skuad kendalian Xabi Alonso yang akan turun menentang Freiburg malam ini, pada 67 mata dengan tiga perlawanan berbaki tetapi ketinggalan jauh dalam perbezaan jaringan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






