Home Buletin Semasa LEGASI JUADAH RAMADAN DITERUSKAN SELEPAS IBU DISERANG STROK

LEGASI JUADAH RAMADAN DITERUSKAN SELEPAS IBU DISERANG STROK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Aroma ayam percik yang menyelubungi suasana di Bazar Ramadan Peringat bukan sekadar menggamit selera pelanggan, malah menghidupkan kenangan dan semangat perjuangan sebuah keluarga yang meneruskan legasi perniagaan turun-temurun.

Bagi Siti Zubaidah Kamaludin, 32, dari Kampung Gunong, Bachok, Ramadan kali ini memberi makna tersendiri apabila dia bersama adik-beradiknya mengambil alih sepenuhnya perniagaan juadah berbuka puasa yang diasaskan ibu bapa mereka lebih 30 tahun lalu.

Tradisi itu diteruskan selepas ibunya, Norma Awang, 72, yang lebih dikenali sebagai Kak Yah, diserang strok pada Ogos tahun lalu sehingga tidak lagi mampu berniaga seperti sebelumnya.

“Ibu saya diserang strok tahun lalu menyebabkan dia sudah tidak boleh berniaga. Jadi kami adik-beradik sepakat untuk meneruskan legasi ini.

“Semua resipi juadah berbuka ini adalah daripada ibu. Sejak sekolah rendah lagi saya sudah melihat ibu memasak sebelum pergi berniaga.

“Sekarang saya sendiri menjual percik ayam, perut percik dan kerabu mangga menggunakan resipi asal ibu supaya pelanggan masih dapat rasa yang sama seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Peringat, pada Ahad.,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Peringat, pada Ahad.

Selain Siti Zubaidah, kakaknya, Siti Nor Kamaludin, 38, turut mengusahakan gerai menjual gulai siput, kerabu perut dan bubur lambuk, manakala adik mereka, Mohamad Firdaus Kamaludin, 25, menjual pelbagai jenis buah-buahan.

Secara keseluruhan, keluarga itu mengendalikan tiga tapak jualan di bazar berkenaan, membuktikan minat berniaga yang sudah sebati dalam diri mereka.

Di luar Ramadan, mereka meneruskan perniagaan di Pasar Tani Pasir Tumboh sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

Siti Zubaidah berkata, peningkatan kos bahan mentah memberi sedikit kesan terhadap harga jualan.

“Dahulu saya jual perut percik lima cucuk RM1, tetapi sekarang dengan peningkatan kos bahan mentah, saya terpaksa jual tiga cucuk RM2.

“Walaupun kos meningkat, saya tetap mempertahankan resipi asli keluarga supaya rasa tidak berubah dan pada masa sama mengekalkan harga yang masih mampu dibeli pelanggan,” katanya.

Baginya, kesinambungan perniagaan itu bukan sekadar mencari rezeki, sebaliknya menjadi tanda penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa yang gigih berniaga demi membesarkan mereka adik-beradik.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here