Home Buletin Semasa JPN KELANTAN SASAR SEKALI GANDA MURID ORANG ASLI MASUK SBP TAHUN DEPAN

JPN KELANTAN SASAR SEKALI GANDA MURID ORANG ASLI MASUK SBP TAHUN DEPAN

137
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan sekurang-kurangnya sekali ganda murid Orang Asli untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) pada tahun hadapan.

Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata pihaknya akan pastikan lebih ramai yang berjaya dan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke SBP.

“Kita berusaha untuk membawa lebih ramai pelajar Orang Asli menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pada masa hadapan.

“Hasrat kita untuk tahun akan datang jumlah itu akan berganda. Mungkin sekitar 10 orang atau lebih, bergantung kepada pencapaian,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pendaftaran Pelajar di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) di Pengkalan Chepa, pada Isnin. 

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya memberi jaminan pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke SBP akan menerima perhatian dan bimbingan khusus bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri serta mencapai prestasi setanding rakan lain.

Siti Norina berkata pihaknya sudah mengatur guru-guru untuk memantau kebajikan serta perkembangan sosial dan akademik pelajar terbabit secara lebih dekat.

“Dari segi penghubungan sosial, kita sudah mengatur guru-guru untuk menjaga anak-anak ini secara khusus. Pelajar Orang Asli ini akan diberi perhatian lebih untuk memastikan mereka selesa.

“Kita akan tengok pencapaian mereka. Jika didapati kurang setanding, kita akan beri perhatian khas. Kalau perlu, mereka akan dibimbing secara individu,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan turut diadakan bersama Majlis Pengetua Sekolah Menengah dan Majlis Guru Cemerlang Kelantan bagi memastikan sokongan menyeluruh dapat diberikan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here