Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hari Sukan Negara peringat negeri Kelantan 2024 berlangsung dengan penuh meriah di Aeon Mall Kota Bharu dengan penglibatan lebih 6000 peserta di negeri ini, pagi tadi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, HSN bukan sahaja dapat mempromosi gaya hidup lebih aktif malah ia juga dapat meningkatkan penglibatan orang ramai dalam aktiviti sukan.
“Dengan mengetengahkan tema CergasBersama, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).
“Kita juga dapat memperkukuhkan semangat perpaduan, integrasi nasional dan menyuntik sinergi pembangunan sosioekonomi menerusi penerokaan industri sukan dan rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan HSN 2024, di Aeon Mall, di sini, hari ini.
Beliau berkata, HSN adalah acara tahunan yang diadakan dengan hasrat merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif.
“Walaupun HSN disambut sekali setahun, kerajaan berharap agar masyarakat sentiasa menyokong hasrat di dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, Pendaftar Pertubuhan Belia, Hasnata Hasan dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria.
IMedikel TV






