KUWAIT: Sekurang-kurangnya empat maut selepas Iran menyerang infrastruktur di negara Teluk semalam termasuk tangki bahan api di lapangan terbang Kuwait serta sebuah loji penyahgaraman air di Bahrain, ketika Tehran meneruskan kempen serangannya memasuki minggu kedua.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pihak pertahanan awam Arab Saudi memaklumkan satu “projektil ketenteraan” mengorbankan dua individu iaitu warga India dan Bangladesh serta mencederakan 12 yang lain selepas ia jatuh di kawasan perumahan di wilayah Al-Kharj, selatan Riyadh.
Di Kuwait pula, dua anggota pengawal sempadan terbunuh ketika menjalankan tugas negara.
Sejak perang bermula, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di negara Teluk, termasuk 10 orang awam, menurut kiraan AFP.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberi amaran republik Islam itu terpaksa bertindak balas terhadap negara jiran sekiranya wilayah mereka digunakan untuk menyerangnya.
Beliau turut memohon maaf kepada negara jiran yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) susulan serangan yang berlaku di wilayah mereka.
Bagaimanapun selepas beberapa jam kemudian, ketua badan kehakiman negara itu berkata serangan akan diteruskan terhadap lokasi di negara Teluk yang digunakan oleh musuh.
Negara Teluk sebelum ini menegaskan wilayah mereka tidak digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran dan berulang kali menyatakan tidak akan membenarkan tindakan sedemikian.
Namun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait masing-masing melaporkan serangan baharu semalam.
Tentera Kuwait memaklumkan tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait menjadi sasaran serangan dron, namun kebakaran berjaya dikawal dan tiada kecederaan serius dilaporkan.
Pihak tentera menyifatkan serangan dron itu sebagai sasaran langsung terhadap infrastruktur penting.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain berkata, serangan dron Iran merosakkan sebuah loji penyahgaraman air, sambil menuduh Tehran menyasarkan infrastruktur awam secara rawak.
Namun, Pejabat Komunikasi Nasional Bahrain kemudian memaklumkan serangan Iran terhadap kemudahan penyahgaraman itu tidak menjejaskan bekalan air atau kapasiti rangkaian.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan pihaknya berjaya memintas 33 dron, sambil menegaskan tiada kerosakan atau korban dilaporkan.
UAE pula memaklumkan sistem pertahanan udaranya mengesan 17 peluru berpandu balistik semalam dan 16 daripadanya dimusnahkan manakala satu lagi jatuh ke laut, selain berjaya memintas 113 daripada 117 dron yang dikesan, dengan empat daripadanya jatuh di dalam negara itu. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






