Home Buletin Semasa LELAKI OKU MENTAL MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH DI BACHOK

LELAKI OKU MENTAL MAUT DALAM KEBAKARAN RUMAH DI BACHOK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental maut selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Mujur, Jelawat, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Che Mohamad Faizul Che Sulaiman, 41, ditemui meninggal dunia di dalam bilik tidurnya selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan rumah berkenaan.

Ibunya, Rohani Mohamed, 66, berkata sebelum kejadian anak keduanya itu mengamuk dan mengugut untuk menamatkan riwayatnya menggunakan pisau, namun berjaya dihalang ahli keluarga.

“Tidak lama kemudian dia mengurung diri di dalam bilik. Kami tiba-tiba nampak api marak dari dalam bilik itu sebelum merebak ke seluruh rumah.

“Anak-anak lain cuba tendang pintu yang berkunci dan sempat menariknya keluar, tetapi dia masuk semula ke dalam bilik ketika api sedang marak,” katanya.

Rohani berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama empat anaknya termasuk mangsa.

Menurutnya, tiga lagi anaknya iaitu Che Mohamad Firdaus, 39; Che Nor Ezzah, 38; dan Che Mohamad Hafiz, 28 sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.

“Kami bukan sahaja kehilangan anak, malah rumah, dua kereta dan tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran ini.

“Sebelum ini walaupun dia mengalami masalah mental sejak kira-kira 10 tahun lalu, dia tidak pernah mengamuk atau menyusahkan keluarga, malah turut membantu menyara keluarga dengan berniaga secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Khairul Ariffin Che Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.15 pagi.

“Operasi pemadaman membabitkan lapan pegawai dan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah sementara kekal berkeluasan kira-kira 40 x 60 kaki persegi dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus dan terdapat seorang mangsa lelaki yang terperangkap,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.38 pagi sebelum mangsa ditemui pada jam 9.43 pagi, manakala operasi pemadaman selesai dalam tempoh kurang satu jam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here