Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima sumbangan sebanyak RM15,000 daripada Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) untuk membantu mangsa yang terjejas dengan banjir di Penampang.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghargai keprihatinan semua agensi yang terlibat dalam sumbangan ikhlas tersebut.
“Terima kasih kepada MOCCIS atas sumbangan yang diberikan. Begitu juga dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang turut bersama saya turun padang menyampaikan sumbangan itu pada Selasa dan Rabu lalu.
“Peranan koperasi amat penting sebagai pelengkap kerajaan dan sektor swasta mengisi ruang-ruang kosong dalam membangunkan negeri dan negara amnya,” katanya dalam ucapan selepas merasmikan De MOCCIS Boutique Hotel milik MOCCIS pada Sambutan Ulang Tahun ke 90-(MOCCIS), di sini, hari ini.
Ewon berharap koperasi tersebut akan terus berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“MOCCIS mempunyai pelbagai perniagaan dan perkhidmatan yang semakin berkembang seiring dengan 90 tahun penubuhan koperasi ini dan menjadi antara koperasi Melayu tertua dan terunggul di Malaysia,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Pengerusi MOCISS Ahmad Sobri Wan The.
IMedikel TV






