Home Buletin Semasa KUIH TRADISIONAL KEKAL DIHATI PELANGGAN, PENIAGA TEGUH PERTAHAN WARISAN MESKIPUN TERDAPAT LAMBAKAN...

KUIH TRADISIONAL KEKAL DIHATI PELANGGAN, PENIAGA TEGUH PERTAHAN WARISAN MESKIPUN TERDAPAT LAMBAKAN KUIH MODEN

399
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Di sebalik kepelbagaian kuih moden yang kian mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, namun masih ada peniaga yang teguh mempertahankan warisan kuih tradisional Melayu agar tidak hilang ditelan zaman.

Bagi seorang penjual kuih, Lijah Hassan, 70, dari Kota Bharu, jualan kuih lompat tikam yang diwarisi daripada neneknya sejak lebih 50 tahun lalu bukan sekadar sumber rezeki, sebaliknya satu usaha untuk mengekalkan identiti budaya tempatan.

“Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden sekalipun, saya tetap akan jual kuih lompat tikam ini kerana ia sudah menjadi tradisi turun-temurun keluarga saya.

“Tidak dinafikan kuih moden juga enak dimakan, tetapi kuih tradisional ini ada nilainya tersendiri, sayang la kalau kita nak tinggalkan tambah pula pembuatannya juga agak rumit,” katanya ketika ditemui di Pasar Berek 12, di sini, hari ini.

Lijah yang mesra disapa Kak Mah berkata, kuih lompat tikam jualannya disediakan bersama santan dan gula melaka yang dimasak, lengkap dengan pulut dan tepung lompat tikam, dijual pada harga RM1 sebungkus.

“Setiap hari ramai yang beratur untuk membeli kuih ini sehingga ada pelanggan dari negeri luar sanggup membelinya untuk dibawa pulang, jadi tidak ada sebab untuk saya berhenti menghasilkan kuih ini sebab masih ada permintaan,” katanya.

Sementara itu, Zawiah Yusof, 56, yang juga penjual kuih berkata, walaupun ramai sukakan kuih moden tetapi masih ada pelanggan tetap mencari kuih tradisional termasuk tepung boko, butir nako dan pelbagai lagi.

“Biasanya anak-anak muda suka akan pemanis mulut moden sekarang, tetapi kalau orang tua lebih suka akan kuih tradisional.

“Saya tidak anggap kuih moden seperti ‘cupcake’ atau lain-lain menjadi persaingan sengit sebab masing-masing ada peminat dan pelanggan tersendiri,” katanya.

Tambah Zawiah, jika dia sendiri tidak meneruskan pembuatan kuih itu, siapa lagi yang akan menyambungnya kerana tidak ramai generasi muda yang tahu membuatnya.

“Rasa kuih ini juga jauh berbeza jika dibandingkan dengan kuih moden sekarang, sebab kuih-kuih ini kita buat menggunakan santan, tepung beras, ubi dan sebagainya,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here