Home Sukan KUALA LUMPUR JUARA PIALA RAZAK SELEPAS 12 TAHUN

KUALA LUMPUR JUARA PIALA RAZAK SELEPAS 12 TAHUN

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menamatkan penantian 12 tahun untuk merangkul kejuaraan hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 dengan menewaskan Melaka 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas perlawanan berakhir sepenuh masa.

Memetik laporan menerusi berita harian,Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian I Vikneswaran mengulangi kejayaan kali terakhir pada tahun 2011.

Melaka bermula garang mendominasi perlawanan sebelum Amirullah Zainol membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi gol padang.

Jaringan anak kendalian jurulatih Nor Ikhram Sulaiman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Kuala Lumpur untuk menyamakan kedudukan apabila Zulpidaus Mizun menyempurnakan gol padang pada minit ke-29.

Penjaga gol Melaka, Mohammad Ridzwan Azmi (kanan) cuba menyelamatkan serangan pemain Kuala Lumpur, V Sriramm pada perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi. – Foto BERNAMA

Melaka kembali memperkemaskan jentera mereka dan mendahului pada minit ke-34 hasil pukulan sudut penalti sekali lagi disempurnakan Amirullah namun Kuala Lumpur tidak mahu mengalah apabila menyamakan kedudukan menerusi V Sriramm pada minit ke-47 menjadikan keputusan 2-2 hingga ke wisel penamat.

Perlawanan kemudian terpaksa diheret ke penentuan pukulan penalti yang akhirnya memihak kepada Kuala Lumpur dengan hasil jaringan Muhammad Fitri Khairul Ariffin, Muhammad Aslam Mohamed Hanifah, Danial Asyraf Abdul Ghani dan Wan Arif Faizuddin Wan Ameer Ruzman.

Vikneswaran ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak menjangkakan kejuaraan kerana kebanyakan pemainnya dibarisi muka baharu.

“Pasukan ini satu pasukan muda dan kami hanya sasar untuk muncul juara tiga atau lima tahun lagi tetapi kami nampak semangat dan pemahaman mereka menuruti taktikal dan teknik permainan,” katanya.

Terdahulu, juara bertahan Perak sekadar menghuni tangga ketiga selepas menewaskan Pahang 3-1 menerusi pukulan penalti.-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here