Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
DABONG: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini menguji tahap kesiapsiagaan serta keupayaan tindak balas kecemasan menerusi Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan EX-Kemubu 2026 di Jambatan Kemubu, di sini.
Pengurus Besar Jabatan Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran (OSHEN) KTMB, Khairul Naim Johdi berkata latih amal itu membabitkan simulasi kegelinciran tren di atas jambatan bagi menguji kecekapan pasukan dalam aspek penyelamatan dan pemindahan mangsa, pengurusan lokasi kejadian, komunikasi krisis serta penyampaian maklumat ketika kecemasan.
“Latihan secara berkala penting bagi memastikan Pelan Pengurusan Bencana KTMB bukan sekadar didokumentasikan, sebaliknya benar-benar difahami dan mampu dilaksanakan dengan cekap.
“Keselamatan adalah nilai teras dalam setiap operasi KTMB. Latih amal ini membolehkan kita menguji tahap kesiapsiagaan warga kerja, keberkesanan prosedur sedia ada serta keupayaan penyelarasan bersama agensi berkaitan apabila berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Jajahan Kuala Krai, Nik Faizai Mohamed merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong.

Beliau berkata, pemilihan Jambatan Kemubu sebagai lokasi latihan memberi peluang kepada KTMB dan agensi terlibat menguji tindak balas dalam persekitaran operasi yang mencabar, khususnya dari aspek akses ke lokasi kejadian serta keupayaan menyelamat mangsa.
Menurutnya, KTMB turut membuat pemeriksaan terhadap aset, peralatan dan kelengkapan kecemasan selain menetapkan struktur arahan serta kawalan insiden bagi memastikan setiap pasukan memahami peranan masing-masing.
Jelasnya, latih amal itu membabitkan kira-kira 350 peserta daripada 11 agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan.
Khairul Naim berkata, antara perkara dinilai ialah kepantasan tindak balas kecemasan, koordinasi antara agensi, pengurusan serta pemindahan mangsa, keberkesanan komunikasi dan tahap kesiapsiagaan peralatan kecemasan tren Diesel Multiple Unit (DMU).
Tambahnya, pelaksanaan EX-Kemubu 2026 turut mengambil kira keperluan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkaitan Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
“Selepas latih amal, kita akan melaksanakan sesi penilaian dan pascanilai untuk mengenal pasti kekuatan, jurang serta ruang penambahbaikan, termasuk dari segi prosedur, komunikasi krisis, kesiapsiagaan peralatan dan penyelarasan antara agensi,” katanya.
Katanya, berkata penganjuran EX-Kemubu 2026 yang merupakan latihan tahunan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk membudayakan keselamatan, melindungi penumpang serta warga kerja dan memastikan operasi rel negara sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
IMedikel TV






