Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Taktik seorang pemilik kedai runcit menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dengan mengubahnya menjadi minyak terpakai untuk dijual pada harga lebih tinggi terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.
Kegiatan itu dikesan menerusi risikan selama sebulan sebelum penguat kuasa KPDN negeri menjalankan tiga serbuan Op Tiris 4.0 Bersepadu secara berasingan.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang juga pemilik kedai runcit berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi itu turut membawa kepada rampasan 3,150 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bersama beberapa peralatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM95,000.
“Serbuan ini dijalankan di sebuah stor sebelum membawa kita ke rumah dan kedai runcit yang menemui kesemua minyak masak terbabit.
“Turut ditemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, bungkusan plastik kosong minyak masak peket yang telah dipotong, dua bilah pisau, satu set pam berserta hos, sebuah IBC kosong berkapasiti 1,000 liter, satu salinan lesen CSA (Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual), bil elektrik, salinan dokumen SSM dan tiga unit bakul,” katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri di Bukit Minyak, Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, kes itu mempunyai modus operandi yang unik apabila minyak masak bersubsidi yang dibeli tidak dibekalkan kepada orang awam atau dijual menerusi proses jualan runcit seperti sepatutnya.
Sebaliknya, katanya, pemilik kedai memotong bungkusan minyak masak peket berkenaan sebelum mencampurkan bahan pewarna dan memasukkannya ke dalam IBC tank berkapasiti 1,000 liter.
“Minyak itu kemudian dijadikan minyak terpakai dan dijual pada harga RM3.50 yang membolehkan suspek memperoleh keuntungan kira-kira RM1 bagi setiap peket minyak masak bersubsidi tanpa perlu melalui proses jualan runcit seperti biasa,” katanya.
Katanya, pihaknya bimbang minyak masak bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat disalahgunakan untuk menghasilkan minyak terpakai sebelum dijual kepada pihak lain.
“Sekarang dia pergi cari mana-mana tempat yang membeli minyak terpakai dan hantar. Tambahan pula, minyak terpakai lebih mahal dan menguntungkan.
“Namun, perbuatan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan subsidi kerajaan yang minyak masak ini sepatutnya membantu rakyat yang memerlukan, bukan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jegan berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kulim bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“KPDN Pulau Pinang memandang serius sebarang usaha menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan itu boleh menjejaskan bekalan serta hak pengguna yang sepatutnya menikmati manfaat subsidi kerajaan.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
IMedikel TV






