WASHINGTON: Pelancaran misi pertukaran kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semalam dijangka membuka peluang bagi membawa dua angkasawan kembali ke Bumi selepas terkandas di angkasa lepas selama lebih sembilan bulan.
Roket Falcon 9 dengan kapsul Crew Dragon yang membawa pasukan empat angkasawan, dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada jam 7.03 malam (waktu tempatan).
“Kami meraikan usaha tanpa henti ribuan individu di seluruh dunia yang memungkinkan perjalanan ini,” kata angkasawan Nichole Ayers, juruterbang yang ditugaskan untuk misi Crew-10, sejurus sebelum pelancaran itu.
Bagaimanapun, tumpuan mereka adalah membawa pulang dua angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang terkandas, Butch Wilmore dan Suni Williams.
Kedua-dua bekas juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) itu terkandas di makmal angkasa sejak Jun lalu selepas kapal angkasa Boeing Starliner, yang diuji dalam penerbangan kru sulungnya, berdepan masalah dan dianggap tidak selamat untuk membawa mereka pulang ke Bumi.
Bagaimanapun, Starliner yang kembali ke Bumi tanpa kru, tidak mengalami masalah besar lain dan misi yang sepatutnya mengambil masa hanya beberapa hari bagi Wilmore dan Williams kini sudah berlarutan lebih sembilan bulan.
Tempoh itu jauh lebih lama berbanding tempoh misi standard ISS untuk angkasawan, iaitu kira-kira enam bulan.
Namun, ia masih jauh lebih singkat berbanding rekod AS yang dicatatkan oleh angkasawan NASA, Frank Rubio di ISS iaitu selama 371 hari pada 2023, atau rekod dunia yang dipegang oleh angkasawan Russia, Valeri Polyakov, yang menghabiskan 437 hari berturut-turut di stesen angkasa Mir.
Walaupun begitu, hakikat berada jauh lebih lama daripada yang dijangkakan menarik simpati orang ramai, berikutan keperluan untuk pakaian tambahan dan barangan keperluan peribadi yang tidak di bawa secukupnya.
Kegagalan teknikal itu juga berkembang menjadi isu politik, apabila Presiden AS, Donald Trump dan penasihat rapatnya, Elon Musk, berulang kali mendakwa bekas presiden AS, Joe Biden sengaja ‘meninggalkan’ dua angkasawan itu dan menolak rancangan untuk membawa mereka pulang lebih awal.
Tuduhan itu mencetuskan kemarahan dalam komuniti angkasa lepas, khususnya apabila Musk tidak memberikan sebarang butiran konkrit mengenai dakwaannya.
Rancangan kepulangan mereka sebenarnya tidak pernah berubah sejak mereka ke misi Crew-9 SpaceX, yang tiba di ISS September lalu. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






