Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah tempoh masa pengajaran bagi modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) melalui pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan bagi menangani isu gangguan seksual yang sedang digunapakai menerusi kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral.
“KPM mengambil serius mengenai halaman pedofilia di media sosial itu dan akan membendungnya.
“Kita juga akan segera mengambil tindakan dan telah mempunyai modul (PEERS) bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya murid, guru dan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Jelasnya, semua institusi pendidikan perlu mematuhi garis panduan itu manakala khidmat sokongan psikososial juga perlu diperkukuhkan untuk memberi sokongan kepada murid.
“KPM turut menggesa ibu bapa agar memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak dari ancaman gangguan seksual.
“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” katanya.
IMedikel TV






