Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau memandang serius kejadian itu dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di laman rasmi beliau selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan susulan kejadian berkenaan.
Menurutnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) turut berada di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan sudah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi esok (hari ini),” katanya.
Dalam perkembangan sama, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu kelancaran siasatan.
Fadhlina turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan terhadap tatacara keselamatan.
“Bagi memastikan kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026.
“Selain itu, bantuan psikososial turut disediakan kepada warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya perkara itu dibuktikan melalui hasil siasatan.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
IMedikel TV






