Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan proses pendermaan organ penuh buat kali ketiga sejak 2006, susulan kes pendermaan organ membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang meninggal dunia akibat kecederaan otak serius selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM merangkap Pengerusi Tissue & Organ Procurement (TOP) Team HPUSM, Profesor Dr Mohd Imran Yusof berkata, kejadian berkenaan adalah kes pendermaan organ ketiga yang berjaya dilaksanakan di hospital berkenaan selepas kes pertama pada 2006 dan kedua pada 2019.

“Mangsa mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua hari sebelum dimasukkan ke HPUSM untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, keadaan mangsa ketika itu sudah terlalu kritikal sehingga nyawanya tidak dapat diselamatkan, walaupun organ dalaman lain masih berfungsi dengan baik melalui bantuan mesin perubatan,” katanya ketika ditemu bual menerusi siaran langsung KelantanFM, pagi tadi.
Dalam temu bual tersebut, beliau berkata, keadaan itu membolehkan mangsa dikategorikan sebagai penderma organ yang berpotensi bagi membantu pesakit lain yang memerlukan pemindahan organ.
“Apabila pesakit berada dalam keadaan sedemikian, semua organ dalaman masih berfungsi dengan baik dan dia termasuk dalam kategori yang sesuai untuk mendermakan organ kepada pesakit lain,” katanya.
Mengulas simbolik pencahayaan lampu hijau di bangunan HPUSM yang tular di media sosial, beliau menjelaskan ia merupakan tanda bahawa proses pendermaan organ sedang atau akan dilaksanakan di hospital berkenaan.
“Lampu hijau dinyalakan apabila terdapat penderma organ yang dikenal pasti dan pesakit atau ahli keluarga memberikan persetujuan untuk meneruskan proses pendermaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan antara organ dan tisu yang lazimnya boleh didermakan termasuk jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, tulang dan kornea, tertakluk kepada kesesuaian serta persetujuan penderma atau keluarga.
Mengulas lanjut mengenai usaha menggalakkan pendermaan organ, beliau berkata, masyarakat boleh mendaftar sebagai pengikrar penderma organ menerusi platform MySejahtera.
Katanya, individu yang belum berdaftar sebagai pengikrar juga berpeluang menjadi penderma sekiranya meninggal dunia dalam keadaan yang bersesuaian, apabila pasukan hospital mengenal pasti kes berpotensi dan mendapatkan persetujuan ahli keluarga.
Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya mereka yang sihat, supaya mempertimbangkan untuk menjadi pengikrar penderma organ bagi membantu pesakit yang masih menunggu peluang mendapatkan organ.
“Ramai lagi pesakit sedang menunggu giliran untuk mendapatkan organ seperti jantung, hati dan buah pinggang.
“Organ ini tidak boleh dibeli atau digantikan begitu sahaja. Jadi, hanya melalui pendermaan organ kita dapat membantu pesakit lain yang masih hidup dan memerlukannya,” katanya.
IMedikel TV






