Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Ibu kepada Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zulpardi, 62, tidak menyangka penderma organ menerima penghormatan yang begitu tinggi sehingga ke peringkat hospital dan masyarakat selepas keluarganya bersetuju mendermakan organ arwah untuk membantu pesakit lain.
Che Sharifah Che Mat Saud berkata, keputusan itu dibuat atas dasar keikhlasan keluarga yang hanya mahu memberikan peluang kehidupan kepada mereka yang sedang menunggu pemindahan organ.
Beliau berkata, pada awalnya keluarga tidak pernah terfikir pendermaan organ akan mendapat perhatian meluas kerana niat utama mereka hanyalah menjadikan sumbangan itu sebagai amal jariah berterusan buat arwah.
“Kami tidak sangka penghargaan untuk penderma organ ini sampai begitu sekali. Kami fikir hendak bantu orang sakit yang sedang menunggu organ sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, hari ini.
Menurutnya, keluarga membuat keputusan itu selepas menerima penjelasan terperinci daripada pasukan pakar mengenai keadaan arwah yang disahkan mengalami kematian otak walaupun organ-organ lain masih berada dalam keadaan baik.
Katanya, mereka percaya pendermaan organ berkenaan mampu memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan selain menjadi saham akhirat buat arwah yang disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan peramah.
Sementara itu, Che Sharifah turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) serta seluruh petugas kesihatan yang memberikan penghormatan kepada anak bujangnya, Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, termasuk tindakan menyalakan lampu hijau sebagai simbol mengenang jasa penderma organ yang membantu memberi harapan dan kehidupan baharu kepada insan lain.
Semalam, lampu hijau itu dipasang sebagai tanda penghormatan kepada penderma organ yang telah meninggal dunia dan simbol harapan baharu kepada pesakit yang bakal menerima manfaat daripada pendermaan organ berkenaan.
Ia juga menjadi pengiktirafan terhadap pengorbanan penderma yang dianggap sebagai wira tidak didendang kerana memberi peluang kehidupan kedua kepada insan lain.
IMedikelTV






