Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Hasrat yang pernah diluahkan Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, untuk menjadi penderma organ suatu hari nanti akhirnya menjadi kenyataan apabila keluarganya bersetuju menyumbangkan organ beliau selepas disahkan mengalami kematian otak akibat kemalangan jalan raya.
Ibunya, Che Sharifah Che Mat Saud, 62, berkata, dia masih mengingati perbualan arwah yang pernah menyatakan keinginan untuk menderma organ bagi membantu pesakit yang memerlukan, namun tidak menyangka perkara itu akhirnya berlaku kepada anaknya sendiri.
“Dia pernah sebut, kalau diberi peluang untuk menderma organ, dia sanggup menderma. Masa itu saya tidak fikir perkara itu akan berlaku kepada dia sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Menurut pesara swasta itu, pemergian anak bongsu daripada empat beradik berkenaan amat sukar diterima keluarga memandangkan arwah dikenali sebagai seorang anak yang baik, peramah dan disenangi ramai.
“Muhammad Aidil merupakan graduan Diploma Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai minat mendalam terhadap motosikal selain bercita-cita untuk menyambung pengajian pada masa hadapan selepas berehat seketika daripada dunia akademik,” katanya.
Mengulas keputusan pendermaan organ itu, Che Sharifah berkata, keluarga membuat keputusan secara bersama selepas mendapat penjelasan terperinci daripada pasukan pakar mengenai keadaan arwah yang disahkan mengalami kematian otak walaupun organ-organ lain masih berfungsi dengan bantuan mesin sokongan hayat.

“Kami sekeluarga berbincang dan merasakan tiada salahnya organ Muhammad Aidil didermakan kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ. Mungkin ini menjadi amal jariah yang berterusan buatnya,” katanya.
Beliau berkata, doktor turut memaklumkan bukan semua pesakit sesuai menjadi penderma organ kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan organ berkenaan, namun keadaan organ Allahyarham didapati masih berada dalam keadaan baik dan layak untuk didermakan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), pasukan pakar dan petugas kesihatan yang menguruskan kebajikan arwah sepanjang menerima rawatan sehingga proses pendermaan organ dilaksanakan.
“Kami terharu apabila hospital menyalakan lampu hijau sebagai simbol penghormatan kepada Allahyarham, sekali gus membuktikan bahawa pengorbanan penderma organ dihargai sebagai jasa besar yang mampu memberi harapan dan kehidupan baharu kepada insan lain,” katanya.
IMedikelTV






