Home Buletin Semasa MARITIM KELANTAN TAHAN 12 PATI, DUA KENDERAAN DIPERCAYAI DIGUNAKAN SINDIKET PENYELUDUPAN

MARITIM KELANTAN TAHAN 12 PATI, DUA KENDERAAN DIPERCAYAI DIGUNAKAN SINDIKET PENYELUDUPAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di Kampung Kelong, Tumpat pada 15 November lalu.

Kesemua tahanan terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh, tiga warga Myanmar membabitkan dua lelaki dan seorang wanita serta seorang wanita warga Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Lantai Merah yang memberi tumpuan kepada penguatkuasaan serta pemantauan aktiviti menyalahi undang-undang di perairan dan kawasan pesisir pantai negeri ini.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 6.15 petang selepas Tim Operasi Darat 1 mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dipercayai membawa PATI menyusuri Kuala Tumpat.

Katanya, maklumat berkenaan kemudian disalurkan kepada Tim Operasi Darat 2 dan bot Maritim untuk tindakan lanjut.

“Pada kira-kira jam 6.30 petang, Tim Operasi Darat 2 yang berada di tebing Sungai Tanjung Duff mengesan bot berkenaan cuba merapat dan mendaratkan PATI di tebing sungai Kampung Kelong, Tumpat.

“Bot Maritim yang tiba di lokasi kira-kira jam 6.40 petang bagaimanapun gagal mengesan bot berkenaan dan dipercayai ia meloloskan diri melalui laluan tidak diwartakan serta kawasan sungai cetek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim di sini hari ini.

Beliau berkata, Tim Operasi Darat 3 yang tiba di lokasi kira-kira jam 6.50 petang berjaya menahan dua buah kenderaan jenis sedan bersama 12 individu terbabit.

“Bagaimanapun, tekong darat dipercayai warga tempatan berjaya melarikan diri dengan menyusuri kawasan hutan, meninggalkan kedua-dua kenderaan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua tahanan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan,” katanya.

Sehubungan itu, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala dua kenderaan turut disita bagi membantu siasatan.

Kamal berkata, siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit dipercayai menggunakan ejen yang sama dan mempunyai destinasi perjalanan ke lokasi pekerjaan mereka sebelum ini.

“Majoritinya dipercayai mahu menuju ke Lembah Klang, manakala ada juga yang menyasarkan Kuala Lumpur.

“Kita percaya mereka mungkin mempunyai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal turut mendapati bayaran bagi perjalanan itu dianggarkan antara RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

Menurutnya, terdapat juga PATI yang membuat bayaran terlebih dahulu, manakala sebahagian lagi dijanjikan perjalanan sehingga ke destinasi sebelum bayaran diselesaikan atau bekerja dengan ejen yang mengatur perjalanan berkenaan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan hampir sama dengan kegiatan penyeludupan migran sebelum ini, namun terdapat perbezaan dari segi waktu operasi apabila cubaan membawa masuk PATI kali ini dikesan pada sebelah petang.

Katanya, kebanyakan tangkapan sebelum ini dilakukan pada waktu malam atau awal pagi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here