Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 4/2026 yang disertai seramai 548 pelatih lelaki melabuhkan tirai di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), di sini, kelmarin.
Majlis perbarisan tamat latihan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Pada PLKN Siri 4/2026 di lapan cawangan kem disertai seramai 1,899 pelatih dan mereka menerima Sijil Tamat Latihan dan secara rasmi diiktiraf sebagai anggota Angkatan Khidmat Negara (AKN). Mereka merupakan wira muda Kementerian Pertahanan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).
Menurut Mohamad Nizar, pelatih PLKN merupakan generasi muda yang memiliki disiplin tinggi, berdaya tahan, bersemangat patriotik, berkemahiran dan cintakan tanah air.
“Buat wira muda negara teruskan melangkah dengan penuh keyakinan, jadikan segala ilmu, pengalaman dan latihan yang diperoleh sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Ingat.. patriotisme bukan sekadar melaungkan semangat cintakan negara tetapi dibuktikan melalui tindakan, pengorbanan dan kesetiaan kepada tanah air,” katanya.
Beliau menambah, pelatih yang terdiri daripada golongan remaja perlu teruskan berbakti dan berjuang kerana merupakan pewaris masa depan negara.
Mohamad Nizar berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kewangan yang besar setiap tahun bagi menjayakan PLKN membabitkan lapang cawangan kem di Pahang, Perak, Perlis, Kelantan, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah.
Katanya, sepanjang program pelatih mengikuti 30 peratus modul kenegaraan dan 70 peratus modul ketenteraan berteraskan cintakan negara, perpaduan dan kesukarelawanan. Latihan ini memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, disiplin, semangat patriotisme dan tanggungjawab terhadap negara.
“Saya difahamkan seramai 1,899 wira muda berjaya menamatkan latihan selama 45 hari di lapan pusat latihan seluruh negara bagi siri terakhir tahun ini. Pencapaian tersebut mewakili 102.10 peratus daripada sasaran pengambilan seramai 1,860 orang, melibatkan 1,149 pelatih lelaki dan 750 pelatih perempuan.
“Latihan dilaksanakan di enam Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) dan dua pusat latihan RELA,” katanya.
Rata-rata pelatih yang ditemui gembira dan berpuas hati selepas berjaya menamatkan latihan yang dapat membentuk semangat kerjasama dan persahabatan dalam kalangan pelatih pelbagai kaum serta latar belakang.
IMedikel TV






