Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan OPS KESAN 6.0 bermula esok (1 Jun) hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia sejak awal tahun ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada peningkatan kos bahan mentah dan operasi untuk meraih keuntungan tinggi yang tidak munasabah.
“Krisis bekalan global dijangka memberi kesan berperingkat kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di negara ini, justeru pemantauan rapi perlu dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pengguna.
“Pelaksanaan OPS KESAN 6.0 adalah langkah proaktif kerajaan untuk memastikan semua pemain industri mematuhi peruntukan undang-undang dan tidak melakukan pencatutan yang membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, operasi kali ini turut menggunakan data sedia ada yang telah dikumpulkan secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat bagi membantu proses pemantauan dan analisis harga.
“Skop pemeriksaan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sehingga ke peringkat peruncit.
“Antara sektor utama yang menjadi fokus operasi ialah sektor petrokimia melibatkan bahan pembungkusan plastik seperti polietilena dan polipropilena serta baja pertanian seperti urea dan ammonia,”katanya.
Selain itu, menurut beliau sektor pertanian yang melibatkan sayur-sayuran seperti sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah, sektor penternakan melibatkan makanan asas ayam pedaging dan penelur, ayam standard serta telur ayam gred A, B dan C turut diberi perhatian.
“Sektor pengangkutan khususnya caj penghantaran logistik juga akan dipantau, manakala pemeriksaan berkala terhadap sektor lain akan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima sepanjang tempoh operasi.
“Sepanjang OPS KESAN 6.0 berlangsung, pegawai penguat kuasa KPDN akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga jualan dan kos operasi,”jelasnya.
Azman menegaskan kegagalan mematuhi notis tersebut atau mengemukakan maklumat palsu merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa perlu menunggu keputusan akhir analisis keuntungan perniagaan.
Menurutnya, sekiranya siasatan membuktikan berlaku pencatutan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Bagi syarikat, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh mencecah RM1 juta.
“Bagi peniaga individu pula, kesalahan pertama memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,”tegasnya.
IMedikel TV






