Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kawalan di semua pintu masuk sempadan bagi mengekang penularan jangkitan cacar monyet atau Mpox.
Ini berikutan pihaknya telah menerima satu kes positif Mpox melibatkan seorang lelaki di negara ini pada 16 September lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, walaubagaimanapun, kes tersebut masih lagi terkawal dan belum menjadi satu wabak namun perlu diberi perhatian.
“Kita nasihatkan kepada masyarakat dan golongan berisiko supaya berhati-hati dalam bertindak atau amalan gaya hidup yang boleh mengakibatkan jangkitan Mpox.
“Antara aktiviti berisiko adalah seperti melakukan aktiviti secara berkumpulan dan golongan ini hendaklah tampil sekiranya mempunyai sebarang simptom Mpox,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap Peringkat Negeri Kelantan di Laman Siti Khadijah, Jalan Buluh Kubu di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, KKM telah memberi garis panduan cara Mpox boleh menjangkiti kumpulan berisiko.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada semua klinik kesihatan seluruh negara untuk bersedia bagi berdepan kes yang akan datang.
“KKM juga turut mengutamakan kesihatan petugas kesihatan dan akan mengeluarkan kenyataan berhubung vaksin bagi mengekang jangkitan itu,” katanya.
IMedikel TV






