Beijing: Gara-gara bengang dengan anak remaja lelakinya kerap menimbulkan masalah disiplin, seorang bapa di wilayah Hunan di tengah China, baru-baru ini, bertindak mengikat anaknya itu dengan tali di khalayak ramai.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan video dua beranak itu bergelut, antaranya ketika budak lelaki itu menentang percubaan bapanya untuk menahannya dengan tali dan membawa ke balai polis, menurut Mengma Video.
Pertengkaran itu berlaku di luar sebuah kedai.
Pemilik premis memberitahu media tempatan bahawa si bapa datang ke Hunan dari Zhejiang di timur China, dengan menempuh perjalanan kira-kira 1,000 kilometer (km), selepas dihubungi guru sekolah si anak yang mengadu masalah ditimbulkan remaja lelaki berkenaan.
Pemilik kedai itu berkata, remaja berusia antara 14 hingga 15 tahun itu kerap ponteng kelas dan sudah lama tercicir persekolahan. Tidak jelas sama ada ibu remaja itu terbabit dalam hidup remaja itu pada masa ini.
“Dia hanya berkeliaran di jalanan. Dia merokok dan ketagih alkohol dan perjudian,” kata pemilik kedai itu.
Apabila si bapa menemukan anaknya di jalan di Hunan, dia memberitahu anaknya bahawa akan membawa ke balai polis untuk “menerima pendidikan.” Budak itu tidak mematuhi arahan ayahnya.
“Kenapa awak tidak mahu pergi ke sekolah untuk belajar?”. Kedengaran si bapa berkata dalam video itu sambil cuba menahan anaknya.
Pegawai polis kemudian tiba untuk menjadi pengantara konflik, dan seorang pegawai berkata, dia bercakap dengan dua beranak itu sebelum membenarkan mereka pergi.
“Lagipun, budak ini masih muda dan perlu kembali ke sekolah,” kata pegawai itu.
Skim pendidikan di China mewajibkan persekolahan selama sembilan tahun sehingga remaja itu berusia antara 15 hingga 16 tahun.
Insiden itu yang berkait isu gaya ibu bapa mendidik anak ternyata mencetuskan kekecohan di media sosial di China apabila jutaan pengguna internet memberikan pelbagai reaksi. – AGENSI, HMetro –
IMedikel TV






