Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pemantauan terhadap penjualan makanan khususnya di bazar Ramadan sepanjang bulan ini bagi memastikan peniaga mematuhi standard keselamatan makanan yang telah ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dalam suatu kenyataan memaklumkan, pemantauan tersebut menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) yang dijalankan selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan dibawahnya.
“Pemantauan yang dijalankan adalah meliputi pemeriksaan terhadap sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan, dan peniaga yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
“Selain itu, turut diperluaskan juga pemeriksaan di hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis pembekal bahan mentah, serta premis penyediaan ais bagi memastikan kesemua penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya kesemua peniaga makanan di bazar menjual makanan yang bersih serta selamat.
“Saya tegaskan supaya peniaga tidak menjual baki makanan yang tidak dijual pada keesokan harinya serta elakkan daripada menyediakan makanan itu terlalu awal selain makanan tersebut perlu diangkut dalam kenderaan yang bersih supaya tidak bercampur dengan bahan kimia bukan makanan dan sebagainya.
“Di samping itu, KKM juga melarang penggunaan peralatan yang bukan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah kerana boleh meningkatkan risiko kesihatan pada pengguna,” katanya.
Tambah beliau, orang juga perlu mengutamakan keselamatan makanan dengan menyimpan lebihan makanan untuk sahur dengan segera di dalam peti sejuk serta perlu dipanaskan dahulu sebelum makan bagi mengelakkan sebarang keracunan.
“Pada masa yang sama, KKM juga memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan yang meluas dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial, televisyen, dan radio.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM),” katanya.
IMedikel TV






