PASIR MAS: Bagi menyantuni golongan asnaf di sekitar daerah ini, Badan Bukan Kerajaan (NGO) The 3rd Force mengagihkan pek Ramadan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban mereka untuk menyambut awal puasa.
Koordinator The 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie berkata agihan pek tersebut adalah inisiatif pihaknya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
“Kami mula mengagihkan pek Ramadan ini sejak Khamis lalu. Setakat ini sudah 70 keluarga yang menerima pek tersebut.
“InsyaAllah, hasil sumbangan orang baik di luar sana, kita akan teruskan sumbangan pek ini sehingga akhir Ramadan,”katanya.
Bagaimanapun, menurut Wan Zalilah, bagi mereka yang tidak sempat menerima pek Ramadan, pihaknya akan mengagihkan pula Pek Syawal.
“Maknanya, mereka yang tidak sempat menerima pek itu atas beberapa faktor, kami bercadang untuk memberi Pek Syawal.
“Jadi, yang mana sudah menerima Pek Ramadan, mereka terkecuali untuk Pek Ramadan. Kita hanya agihkan kepada mereka yang belum menerima sebarang sumbangan,”katanya.