Oleh: Nur Athirah Azman@IIMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu berkaitan pengendalian makanan tidak bersih dan selamat di premis makanan.
Menurut satu kenyataan, terdapat premis yang menggunakan air parit bagi mencuci periuk dan menyimpan bahan mentah sayur-sayuran di dalam tandas.
Dalam hal ini, KKM mengingatkan pengusaha premis supaya mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Ujar KKM, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan, penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
Di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi anti tifoid.
KKM juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam memilih tempat makan dengan cara sebelum membeli disarankan “Perhati dan Pilih” serta amalkan “Lihat Hidu Rasa” bagi mengelakkan keracunan makanan.
Sekiranya berasa sangsi akan keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
IMedikel TV






