KUALA LUMPUR: Momentum Malaysia dalam kolam renang diteruskan apabila perenang negara, Tan Khai Xin mara ke final 400m rampaian individu (IM) lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, beraksi di Tokyo Aquatic Centre, Khai Xin mencatat 4:24.38 saat untuk menduduki tempat kelima dalam Saringan 2, yang menyaksikan wakil Jepun, Yumeki Kojima (4:21.54), wakil Korea Selatan, Kim Min Suk (4:21.80) dan wakil Vietnam, Nguyen Quang Thuan (4:23.55) mengisi tiga tempat teratas.
Khai Xin yang menduduki tempat ke-10 keseluruhan untuk mara ke perlumbaan penentuan pingat, dijangka mencabar rekod kebangsaan 4:23.24 saat yang dilakukannya pada Sukan SEA Kemboja 2023, pada final lewat hari ini.
Seorang lagi wakil Malaysia, Goh Li Jie yang turut beraksi dalam saringan sama, menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan catatan 4:52.72 saat dan menduduki tempat ke-18 daripada 24 perenang.
Sementara itu, kuartet 4x100m rampaian lelaki Malaysia yang dibarisi Khiew Hoe Yan, Andrew Goh, Bryan Leong dan Arvin Shaun Singh Chahal mencatat 3:42.78 saat untuk menduduki tempat keenam dalam Saringan 2 sekali gus gagal mara ke final.
Tiga pasukan terpantas yang layak dari saringan itu ialah Jepun (3:33.62), China (3:36.56) dan Indonesia (3:38.97).
Kuartet Malaysia yang memegang rekod kebangsaan 3:41.92 saat itu menduduki tempat ke-11 daripada 16 negara.
Dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki, Duha Zulfikiry mencatat 15:38.23 saat untuk menduduki tempat keenam dalam final B. – HMetro Online –
IMedikel TV






