Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Dua beranak berdepan detik cemas apabila rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Lorong Masjid, Cherok Tok Kun Bawah, di Bukit Mertajam, di sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun mereka berdua terselamat selepas berjaya keluar sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.28 pagi berhubung insiden berkenaan.
Katanya, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separa dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Kebakaran turut membabitkan sebuah motosikal Yamaha yang dianggarkan mengalami kemusnahan sebanyak 85 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu selepas penghuni rumah berjaya keluar dengan selamat sebelum ketibaan bomba di lokasi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, penghuni rumah itu membabitkan seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
John Sagun berkata, seramai12 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dan BBP Bandar Perda terbabit dalam operasi berkenaan.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.21 pagi sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.22 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya.
IMedikel TV






