Home Segmen Kesihatan KESEDARAN HANTAVIRUS MENINGKAT, RISIKO JANGKITAN MASIH RENDAH

KESEDARAN HANTAVIRUS MENINGKAT, RISIKO JANGKITAN MASIH RENDAH

55
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Meskipun tahap pengetahuan masyarakat di Malaysia mengenai hantavirus masih pada tahap sederhana, kesedaran orang ramai terhadap ancaman penyakit itu semakin meningkat hasil pelbagai hebahan yang dilakukan menerusi media sosial.

Pengarah Urusan Klinik Warga Nurul Ain, Dr. Nurul Ain Razali berkata, setakat ini risiko jangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah rendah.

Menurut beliau, hantavirus merupakan kumpulan virus bawaan haiwan yang kebanyakannya disebarkan oleh tikus dan sering dilaporkan berlaku di Eropah, Amerika Syarikat serta beberapa negara Asia seperti China dan Korea Selatan.

“Manusia boleh dijangkiti apabila tersentuh atau menyedut habuk yang tercemar dengan air kencing, najis atau air liur tikus yang dijangkiti,” katanya kepada IMedikel TV, hari ini.

Beliau berkata, antara gejala jangkitan hantavirus ialah demam panas secara tiba-tiba, menggigil, sakit otot, sakit kepala yang teruk, keletihan melampau, masalah pencernaan seperti muntah dan cirit-birit serta sesak nafas.

Katanya, virus itu boleh merebak melalui sedutan udara apabila zarah virus daripada persekitaran tercemar memasuki saluran pernafasan.

Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan tikus yang dijangkiti atau objek yang tercemar sebelum individu menyentuh hidung dan mulut.

“Jangkitan turut boleh berlaku melalui gigitan tikus pembawa virus serta pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dengan najis atau air kencing tikus.

“Orang ramai perlu mengambil serius ancaman hantavirus kerana ia berpotensi menyebabkan komplikasi serius termasuk kegagalan fungsi paru-paru dan buah pinggang, malah boleh membawa maut jika tidak dirawat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi beberapa langkah pencegahan yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan hantavirus, antaranya menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengawal populasi tikus serta memakai pelitup muka ketika membersihkan kawasan yang berhabuk atau berisiko tercemar.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun, menyimpan makanan dengan betul serta menutup semua lubang atau ruang yang boleh menjadi laluan tikus memasuki bangunan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here