Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Komputer atau gajet adalah salah satu medium bagi peringkat kanak-kanak hingga dewasa bagi tujuan pembelajaran mahupun pekerjaan.
Peningkatan penggunaan komputer atau gajet menyebabkan ada sesetengah pengguna terdedah dengan pencahayaan menyebabkan berlaku kerosakan pada mata.
Menurut portal myhealth antara gejala atau tanda yang biasa dialami pengguna tegar komputer adalah:
- Sengal-sengal mata (eyestrain)
- Kabur penglihatan
- Mata kering (dry eyes)
- Ketidakselesaan penglihatan
- Sakit kepala.
- Simptom-simptom lain yang turut disebabkan oleh penggunaan komputer seperti sakit dibahagian tengkuk dan juga belakang badan (back and neck pain).
Semua simptom-simptom ini boleh digolongkan sebagai tanda-tanda klasik bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer (computer vision syndrome). Bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna komputer ini, peranan Optometris sebagai pengamal jagarawatan mata primer untuk penglihatan adalah amat penting.

Diagnosis, Pencegahan, Rawatan dan Rehabilitasi
Diagnosis dan rawatan bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer adalah tugas yang amat mencabar bagi seorang Optometris kerana ia melibatkan faktor-faktor penglihatan dan okular serta faktor-faktor ergonomik seperti pencahayaan, postur ketika penggunaan komputer, posisi dan kedudukan komputer itu sendiri. Namun begitu, ini tidak bermakna masalah ini tidak boleh diatasi dan diselesaikan dengan kaedah pendiagnosian dan rawatan yang betul seperti berikut :
Pemeriksaan Penglihatan
Pemeriksaan penglihatan khususnya oleh Optometris secara menyeluruh dan komprehensif mampu memberikan jalan penyelesaian bagi mereka yang menghadapi simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa selain pendekatan optometrik, sindrom penglihatan komputer memerlukan pendekatan multidisiplin yang bukan sahaja melibatkan terapi secara okular malahan juga beberapa perubahan ergonomik khususnya dari segi pengubahsuaian tempat kerja supaya dapat mengurangkan, jika tidak melenyapkan, simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
Pencahayaan
Pencahayaan adalah amat penting di dalam menentukan keselesaan penggunaan komputer. Pencahayaan yang sesuai dapat membolehkan pengguna komputer meningkatkan tahap keselesaan serta prestasi dan juga meminimumkan gangguan serta keletihan visual (visual fatigue).
Ergonomik
Ergonomik yang sesuai perlu diamalkan oleh setiap individu yang banyak menggunakan komputer. Di samping itu juga, suai-letak paparan komputer yang memainkan peranan dalam memberikan keselesaan kepada penggunaan komputer. Prinsip asas seperti berikut boleh diamalkan :
- Jarak skrin paparan daripada mata supaya berada di antara 16 hingga 30 inci.
- Skrin paparan berada 10 hingga 20 darjah di bawah paras mata.
- Kekalkan postur yang baik semasa bekerja

Dengan cara ini, simptom-simptom fizikal akibat postur yang salah seperti sakit tengkuk, bahu dan belakang dapat dielakkan, dan keselesaan penggunaan komputer juga dapat ditingkatkan.
Terdapat juga beberapa masalah jika kerap terdedah dengan pencahayaan skrin komputer atau gajet antaranya:
- Penglihatan Lesu (Visual Fatigue)
- Sindrom Mata Kering (Dry Eye Syndrome
- Rabun Penglihatan
IMedikel TV






